Tingkat kemudahan di Cyberjaya
oleh Norliza Abdul Rahman

Cyberjaya, 28 Jan
Kerajaan akan membangunkan infrastruktur sokongan dan sosial bagi meningkatkan lagi akses serta mewujudkan persekitaran kondusif untuk menjalankan operasi perniagaan di Bandar ini.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, kemudahan yang bakal dibangunkan itu adalah selaras dengan perkembangan global dalam sektor teknologi, maklumat dan komunikasi (ICT) semasa.

Menurut beliau, ia juga sejajar dengan perancangan kerajaan sebelum ini untuk menjadikan bandar pintar itu sebagai hub ICT terkemuka di rantau ini.

“Sejak Cyberjaya dibuka pada 1997, banyak pembangunan dilaksanakan bersesuaian dengan perkembangan global dalam sektor ICT”, katanya ketika berucap merasmikan kemudahan terbaru di Bandar pintar ini, Kelab Komuniti Taman Tasik Cyberjaya di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang juga Pengerusi Cyberview Sdn. Bhd., Tan Sri Izzuddin Dali dan Pengarah Urusan Cyberview Sdn. Bhd., Redza Rafiq Abdul Razak.

Kelab Komuniti Taman Tasik Cyberjaya dibangunkan oleh Cyberview Sdn. Bhd. pada kos RM23 juta dengan penyediaan kemudahan kolam renang, tempat latihan golf, gymnasium, gelanggang badminton, tennis, skuasy, bola keranjang, ping pong, futsal serta dewan serbaguna dengan kadar bayaran berpatutan.

Kelab itu juga menawarkan aktiviti rekreasi tambahan melalui pelbagai kemudahan serta perkhidmatan tambah nilainya dengan tujuan mempromosikan gaya hidup sihat dan seimbang kepada komuniti tempatan serta antarabangsa di Cyberjaya.

Nor Mohamed memberitahu, antara projek yang telah dilaksanakan di sini ialah system pengangkutan cekap yang mula diperkenalkan pada September tahun lalu.

Perkhidmatan pengangkutan ini khusus bagi memenuhi keperluan syarikat penyemberluaran yang beroperasi 24 jam dan kemudahan ini boleh digunakan bagi laluan KL Sentral, Melawati, Kajang, Kepong, Klang, Banting dan Seremban.

“Kita juga sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan Selangor untuk mempercepatkan pelaksanaan beberapa projek lain seperti kediaman mampu milik, sekolah antarabangsa dan kemudahan kesihatan”, katanya.

Content on this page requires a Macromedia Flash Player
  HOME